Isu Ekonomi #4

Sumber asal : Utusan Online , 2 Ogos 2010 (di sini)

FDI jadi mangsa ekonomi berpendapatan tinggi?

Oleh AINUL ASNEIRA AHSAN DAN NORLAILI ABD.
bisnes@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Ogos – Kejatuhan mendadak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada 2009 sebanyak 81 peratus kepada AS$1.38 (RM4.42 bilion) berbanding AS$7.31 bilion (RM23.40 bilion) tahun sebelumnya memang begitu mengejutkan.

Ia kerana, kejatuhan itu merupakan kejatuhan terburuk dalam tempoh 15 tahun.

Dunia mengakui 2009 adalah tahun sukar kepada semua ekonomi termasuklah negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah namun ia bukanlah alasan terbaik bagi Malaysia yang kehilangan FDI pada tahap yang membimbangkan.

Belum habis menangisi kehilangan FDI terburuk, Malaysia turut dimalukan oleh ‘jiran-jiran tetangga’ seperti Indonesia dan Vietnam yang selama ini lebih mundur dari Malaysia.

Di sebalik kemelesetan ekonomi global tahun lalu, Indonesia dan Vietnam masih mampu meraih pelaburan lebih tinggi berbanding Malaysia dengan masing-masing merekod AS$4.877 bilion (RM15.60 bilion) dan AS$4.5 bilion (RM14.4 bilion) FDI pada tahun lalu.

Indonesia hanya kehilangan AS$5.56 bilion (RM17.782 bilion) pelaburan asing manakala Vietnam pula adalah AS$3.55 bilion (RM11.36 bilion).

Sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan Laporan Pelaburan Dunia 22 Julai lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) nampaknya begitu susah hati.

Nampaknya MITI semakin tertekan sehingga terpaksa membuat dua kali kenyataan kepada media.

Masakan tidak, MITI dikritik oleh semua pihak yang mempersoalkan kewibawaan kementerian itu yang diterajui oleh Datuk Seri Mustapa Mohamad sehingga kenyataan-kenyataan pedih yang dilemparkan terhadap agensi tersebut didakwa melemahkan semangat seluruh kakitangan.

Mustapa dalam kenyataan akhbar pada 26 Julai lalu memberi alasan aliran masuk FDI menjunam akibat terkena tempias krisis ekonomi global yang menyebabkan ramai pelabur berhati-hati sebelum membuat sesuatu keputusan perniagaan.

Sayangnya, kenyataan itu tidak boleh diterima kerana berdasarkan data tahap kompetitif Malaysia semakin jauh ketinggalan.

Mengambil contoh Thailand, meskipun mengalami krisis politik yang sukar sehingga mengheret rakyatnya berdemonstrasi selama berbulan-bulan, negara gajah putih itu masih mampu merekod FDI lebih tinggi iaitu sebanyak AS$5.94 bilion (RM19 bilion) berbanding Malaysia, sebuah negara yang aman damai.

Mustapa dalam pertemuannya untuk menjelaskan isu itu berkata, salah satu sebab kemerosotan aliran masuk pelaburan kerana Malaysia dalam proses transformasi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Justeru, Malaysia katanya, sukar untuk bersaing dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Vietnam yang menawarkan kos buruh yang murah.

Yang menjadi persoalannya, apakah Malaysia rela berputih mata melihat pelabur asing memilih negara lain semasa proses transformasi ini berlaku?

Apakah kerajaan tidak bersedia dengan satu mekanisme yang membolehkan pelaburan terus masuk dan pada masa yang sama melakukan transformasi kepada ekonomi negara?

Atau ini adalah bayaran/hukuman yang patut diterima Malaysia kerana mahu berubah menjadi ekonomi berpendapatan tinggi?

Sedangkan sebagai sebuah negara yang sedang mengorak langkah menjadi negara maju, perkembangan ekonominya tidak harus terbantut oleh halangan-halangan seperti ini.

Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) menyasarkan pelaburan swasta sebanyak RM115 bilion setahun bagi memastikan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang sekurang-kurangnya enam peratus setiap tahun.

Selain itu, yang turut menjadi perhatian adalah ketidakseimbangan di antara aliran masuk dan aliran keluar pelaburan yang menyaksikan syarikat Malaysia melabur sebanyak AS$8.03 bilion (RM25.55 bilion) di luar negara.

Seorang penganalisis ekonomi berkata, sekiranya tiada tindakan drastik untuk memperbaiki kemasukan FDI, ekonomi Malaysia akan terperangkap selama-lamanya.

Ia kerana, negara-negara jiran terutama Vietnam dan Indonesia begitu agresif meningkatkan pertumbuhan ekonomi masing-masing dengan pendekatan yang holistik.

Dan, Malaysia tidak boleh hanya berpeluk tubuh dengan mengharapkan limpahan ekonomi negara-negara jiran untuk merasai tempiasnya kerana ia tidak akan berlaku.

Sudah tentu kita tidak mahu melihat generasi muda pada masa depan pula mencari kerja di Indonesia dan Vietnam, mencari sesuap nasi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: