Isu Ekonomi #5

Sumber asal : Berita Harian Online. Klik sini

Bisnes Dunia: Jepun hilang status kuasa ekonomi

2010/08/17

JEPUN kehilangan kedudukannya sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia kepada China pada suku kedua lalu apabila momentum pertumbuhan ekonomi global semakin menurun dan menjejaskan proses pemulihan ekonominya yang agak goyah itu.

Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) Jepun hanya berkembang 0.4 peratus pada suku kedua lalu berbanding tempoh sama tahun lalu, jauh lebih rendah daripada pertumbuhan 4.4 peratus pada suku pertama.

Perangkaan terbaru dikeluarkan Kerajaan Jepun semalam sekali gus menunjukkan kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi yang mampu mengubah segala-galanya daripada keseimbangan ketenteraan dan kuasa kewangan global hingga kepada cara bagaimana kereta direkabentuk.

China sudah pun menjadi pengeksport, pembeli kereta serta pengeluar besi terbesar dunia, dan pengaruhnya di peringkat global semakin berkembang.

Negara itu turut menjadi penggerak utama kepada kebangkitan semula ekonomi dunia daripada kancah kemelesetan, memberikan kelegaan kepada ekonomi Amerika Syarikat (AS), Jepun dan Eropah.

Perangkaan ekonomi terbaru dari Tokyo itu menunjukkan permintaan daripada penduduk China semata-mata mungkin tidak mencukupi bagi menampung ekonomi Jepun atau lain-lain gergasi ekonomi.

“Jepun terlalu bergantung kepada permintaan dari Asia dan China, sedangkan permintaan dari rantau ini mulai perlahan,” kata Martin Schulz, seorang ahli ekonomi kanan di Fujitsu Research Institute di Tokyo.
“Ini satu amaran kepada semua negara bahawa menumpukan kepada permintaan dari seberang laut semata-mata adalah tidak memadai,” katanya.

China sudah pun mengatasi Jepun dari segi angka KDNK sebelum ini, bagaimanapun pada kali ini, negara itu dilihat tidak akan menyerahkan kedudukannya sebagai peneraju ekonomi di Asia.

Ekonomi China sudah hampir pasti berkembang dengan lebih pesat daripada Jepun menjelang akhir tahun ini disebabkan jurang perbezaan yang besar dari segi kadar pertumbuhan antara kedua-dua negara.

Ekonomi China sedang berkembang pada kadar 10 peratus setahun, manakala ekonomi Jepun diunjurkan berkembang antara dua hingga tiga peratus tahun ini.

Nilai KDNK Jepun bagi April hingga Jun adalah AS$1.286 trilion (RM4.08 trilion) berbanding AS$1.335 trilion (RM4.24 trilion) bagi China.

Jepun menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar dunia selepas AS sejak 1968, apabila ia mengambil alih kedudukan itu daripada Jerman Timur.

Ketika itu, Jepun bangkit daripada kemusnahan akibat Perang Dunia Kedua menjadi kuasa sektor perkilangan dan kewangan global.

Bagaimanapun apa dikatakan sebagai ‘keajaiban ekonomi’ itu berubah menjadi gelembung masalah pada 1980-an akibat daripada krisis kejatuhan harga hartanah akhirnya meletus pada 1991.

Susulan daripada itu, pertumbuhan ekonomi Jepun terus mendatar dan sehingga kini negara itu belum benar-benar pulih daripada malapetaka ekonomi itu. – AP

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: