Kenapa Belajar dalam Tingkatan Enam/Pra-U?

Pengenalan

Persoalan yang kerap didengar oleh pihak guru, “Cikgu, perlukah kami masuk tingkatan enam?”, atau “Apakah manfaatnya kami ambil STPM?”, “Betulkah kami boleh masuk ‘U’ lepas tingkatan enam?”, “Apa bezanya belajar untuk STPM dengan matriks atau diploma?”

Sudah pastilah guru-guru ada jawapannya dan kerap mengulang jawapan yang hampir sama hampir setiap tahun.

Tetapi kali ini, cikgu nak berkongsi pandangan secara ringkas dan umum tentang belajar di Pra-U. Mungkin juga ia boleh menjadi sandaran atau menjadi jawapan kepada pelajar-pelajar yang masih ragu-ragu dengan pilihan mereka.

Pertama : Merancang mengikuti program Ijazah di IPT(A/S)

Jika anda merancang untuk sambung belajar ke peringkat ijazah di mana-mana IPTA di dalam Malaysia, maka pelajar SPM mestilah mengikuti dahulu program pra-ijazah, sebelum layak ke peringkat ijazah. Dalam hal tersebut, pelajar yang memegang kelayakan SPM dan layak, bolehlah memohon:

  1. program matrikulasi Kementerian Pelajaran Malaysia
  2. program asasi di IPTA/S yang diiktiraf
  3. program diploma di IPTA/S yang diiktiraf
  4. program diploma di Politeknik yang diiktiraf
  5. program Pra-U/tingkatan 6 Kementerian Pelajaran Malaysia

Dalam hal ini, program pra-u adalah program terbesar (ramai pelajar) yang dapat ditawarkan kepada pelajar-pelajar lepasan SPM. Hal ini kerana KPM membuka kelas-kelas pengajian pra-u di sekolah-sekolah berdekatan dengan masyarakat.

Kedua : Kos Pengajian Pra-ijazah Terendah

Jika anda memikirkan untuk ke peringkat ijazah, tetapi inginkan kos pengajian pra-ijazah yang mampu bayar, murah dan mungkin hampir dengan rumah, maka program Pra-U adalah laluan terbaik untuk anda.

Selalunya kos yang perlu ditanggung pelajar hanyalah harga buku rujukan, yuran sekolah yang amat rendah (setahun), dan yuran peperiksaan percuma. Selain dari itu, kebanyakan pelajar pra-u/tingkatan enam yang ditawarkan masuk ke sekolah berkenaan adalah juga tinggal berdekatan dengan sekolah tersebut. Maka pelajar telah menjimatkan wang pengangkutan dan yuran tempat tinggal.

Di akhir pengajian, anda akan berpeluang menduduki peperiksaan (November selalunya) dan jika berjaya, akan memperoleh kelayakan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Ketiga : Sistem Semester (mulai 2011)

Mulai ambilan Mei/Jun 2011, program pra-u akan menggunapakai sistem semester. Pengajian akan dibahagikan kepada tiga semester di mana peperiksaan untuk kelayakan STPM akan diduduki di akhir semester berkenaan.

Dengan kata lain, pelajar pra-u 2011 ke atas tidak perlulah menduduki peperiksaan STPM di akhir pengajian, sebaliknya akan menduduki peperiksaan STPM sebanyak 3 kali.

Silibus atau sukatan pelajaran STPM juga akan dirombak dan dipecah-pecahkan mengikut sistem semester.

Keempat : STPM diiktiraf oleh Uniersiti Luar Negara

Pelajar yang mempunyai STPM dan mencapai keputusan yang tertentu, layak untuk memohon masuk ke IPT luar negara untuk mengikuti program ijazah, termasuklah di UK, Amerika Syarikat, Mesir, Singapura, Australia dan banyak lagi. Pelajar lepasan STPM aliran sains, contohnya boleh memohon program kejuruteraan di universiti luar negara. Antara destinasi popular pelajar STPM adalah di Amerika Syarikat dan Britain. Pelajar aliran sastera STPM juga boleh memohon mengikuti program ijazah perakaunan, ekonomi, dan sebagainya di beberapa buah universiti terkemuka dunia.

Sila rujuk dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk syarat-syarat lain dan universiti yang menerima pelajar Malaysia.

Penutup

Sebagai penutup bolehlah cikgu nyatakan semula di sini bahawa program pra-u adalah salah satu program pra-ijazah yang boleh diikuti oleh calon-calon lepasan SPM sebelum layak memohon masuk ke peringkat ijazah di IPTA (kecuali program keguruan – PISMP yang mengambil pelajar cemerlang SPM secara langsung). Ia adalah program yang popular, dengan calon teramai berbanding program pra-ijazah lain di seluruh Malaysia, dan masih menawarkan kualiti pendidikan yang setanding dengan program-program pra-ijazah lain.

Kekurangan jika ada, adalah amat kecil. Contohnya, pelajar STPM tidak akan pengkhususan program, sebaliknya hanya ada aliran.

Diharapkan artikel ringkas ini dapat menjawab beberapa persoalan dan keraguan pelajar SPM tentang program pra-u di sekolah anda.

Tulisan : En. Rithuwan Nasir, DG41
Tarikh : 10 Julai 2010

Notis : Sebarang kesilapan, jika ada, bukanlah disengajakan dan amat dikesali. Sila maklumkan kepada pihak kami kesilapan tersebut untuk dibetulkan.

Comments are closed.

%d bloggers like this: